Saturday 13 August 2011

Kuih buah tanjung pembuka selera



NOR ASMAK menunjukkan kuih buah tanjung yang dijual di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu semalam.

MANIS. Bagi masyarakat Kelantan, tidak lengkap juadah berbuka puasa jika tidak ada sajian manis seperti buah tanjung iaitu sejenis kuih berbentuk bujur yang boleh didapati dalam dua warna iaitu kuning dan oren.
Peniaga kuih buah tanjung di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Nor Asmak Makhtar, 39, berkata, kuih itu sememangnya menjadi pilihan masyarakat di Kelantan sebagai juadah pembuka selera semasa berbuka puasa.
“Bila makan kuih buah tanjung ini, kita akan terasa nikmat manis dan enaknya kuih ini. Ia memang menjadi pilihan orang Kelantan untuk berbuka puasa kerana orang Kelantan suka yang manis-manis,” ujarnya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Nor Asmak yang sudah 10 tahun berniaga kuih buah tanjung berkata, dia mampu menjual sehingga 1,000 biji kuih itu sehari.
Katanya, ramuan kuih buah tanjung terdiri daripada telur, air gula dan sedikit tepung dan buah tanjung berwarna kuning diperbuat daripada kuning telur sahaja manakala buah tanjung berwarna oren diperbuat daripada kuning telur dan putih telur.
Nor Asmak menjual kuih buah tanjung kuning pada harga RM1 bagi enam biji dan RM1 lima biji bagi buah tanjung oren.

No comments:

Post a Comment